Saturday, 21 May 2016

MENGENALI RUANGAN KOLEKSI ASEANA +3 DI PERPUSTAKAAN UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

KOLEKSI ASEANA +3








Koleksi  ASEANA +3 merupakan sebuah ruangan khas yang diwujudkan oleh pihak Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ruangan Koleksi ASEANA +3 terletak di Aras 2 iaitu bersebelahan dengan ruangan Koleksi Perdana. Koleksi ASEANA +3 mendapat nama hasil daripada gabungan negara-negara Asean. Asean dianggotai oleh 11 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Laos, Brunei Darulssalam, Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste. Penggabungan kesebelas-sebelas negara ini dalam mewujudkan perkongsian maklumat serta penyelidikan bersifat ilmiah telah berjaya menarik minat tiga buah yang bukan merupakan anggota Asean iaitu Jepun, Korea Selatan dan China. Disebabkan inilah ruangan ini diberi nama ASEAN +3.
          Kerjasama yang dimeterai antara negara-negara ASEAN bukan sahaja melibatkan bidang ekonomi semata-mata, tetapi ia juga turut melibatkan jalinan merangkumi perkongsian bahan-bahan ilmiah seperti koleksi pensyarah, tesis dan buku am bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Hasil jalinan yang dimeterai oleh pihak UMS dengan Negara-negara Asean, pihak UMS telah mendapat manfaat yang amat membantu para mahasiswa apabila bahan-bahan dari negara-negara yang terlibat akan diperolehi dengan mudah. Namun, setiap bahan-bahan yang dibekalkan bukanlah percuma, tetapi melibatkan langganan melibatkan jumlah wang yang setimpal dengan bahan-bahan yang disediakan dan mendapat persetujuan bersama.
          Pada kebiasaannya, tempoh bahan-bahan yang dilanggan akan ditentukan menerusi jumlah permintaan dalam kalangan para pengguna yang terdiri daripada barisan pensyarah, mahasiswa serta staf-staf yang terdapat di UMS. Sekiranya bahan yang dilanggan mendapat permintaan yang tinggi serta sambutan yang menggalakkan, pihak Perpustakaan UMS akan melanjutkan kontrak langganan dengan mana-mana negara gabungan yang terlibat. Langganan tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana, setiap langganan melibatkan sejumlah bayaran yang besar. Jadi, tepatlah langkah yang telah diambil oleh pihak Perpustakaan UMS yang memanjangkan langganan bagi bahan popular dan memendekkan langganan bagi bahan yang kurang popular dan kurang sambutan. Langkah ini bagi menjimatkan kos yang dikeluarkan supaya setiap aliran wang yang mengalir tidak dibazirkan dengan begitu sahaja.
          Menurut Encik Jarry yang merupakan seorang kerani di ruangan ASEANA +3, para mahasiswa kurang menggunakan kemudahan bahan yang telah dilanggan oleh pihak Perpustakaan UMS. Beliau berpendapat, para mahasiswa kurang terdedah dengan bahan-bahan yang telah disediakan untuk kegunaan mereka. Para mahasiswa tidak mengetahui bahawa semua bahan yang diperlukan oleh mereka terdapat di ruangan tersebut dan mereka hanya perlu ke sana untuk mendapatkannya. Beliau juga memberitahu bahawa hanya segelintir sahaja golongan mahasisiwa yang menggunakan kemudahan itu. Selebihnya digunakan oleh para pensyarah bagi tujuan penyelidikan mereka.
          Antara bahan yang boleh didapati di Koleksi ASEANA +3 ialah kertas soalan peperiksaan. Kertas soalan peperiksaan yang terdapat di ruangan tersebut merangkumi kesemua fakulti yang terdapat di dalam UMS. Contoh soalan peperiksaan yang disediakan di situ merupakan soalan peperiksaan dari tahun 2003 sehingga tahun 2014. Proses untuk menyediakan koleksi contoh soalan peperiksaan agak rumit sekali berikutan terdapat begitu banyak bilangan fakulti yang ada di UMS. Pihak perpustakaan akan mendapatkan bantuan dari fakulti-fakulti bagi mengumpul soalan peperiksaan sebelum dibukukan. Menurut Encik Jarry, kerap kali koleksi buku soalan peperiksaan dihilangkan oleh pelajar. Jadi, pihak perpustakaan harus membukukannya semula dengan meminta kembali koleksi-koleksi yang disimpan oleh para pensyarah mahupun pihak pentadbiran fakulti. Ini kerana, pihak perpustakaan hanya mempunyai satu salinan sahaja bagi setiap contoh soalan peperiksaan bagi satu-satu subjek.
          Selain itu, ruangan ASEANA +3 juga turut menyediakan karya yang dibuat oleh para pensyarah. Karya-karya yang terdapat termasuklah nota-nota yang disediakan oleh para pensyarah untuk tujuan pengajaran kepada para pelajar. Terdapat juga karya-karya seperti buku hasil tulisan para pensyarah sendiri. Pada kebiasaannya, buku hasil tulisan pensyarah senang untuk didapati di pasaran. Namun , nota yang disediakan oleh para pensyarah amat jarang untuk ditemui. Inilah yang menjadi antara sebab yang mengukuhkan fakta yang menyebut bahawa ruangan Koleksi ASEANA +3 amat istimewa dan begitu membantu para pengunjung untuk mendapatkan informasi yang berguna.

          Terdapat juga koleksi-koleksi tesis yang disediakan. Ruangan ini menyimpan begitu banyak bilangan tesis dan terdapat sebuah ruangan khas yang disediakan bagi memuatkan tesis-tesis yang dikumpul. Kebanyakan tesis yang disimpan di situlah adalah merupakan tesis yang dihasilkan oleh para pelajar tahun akhir. Syarat yang ditetapkan oleh pihak perpustakaan bagi membolehkan tesis disimpan adalah sesebuah tesis mestilah mendapat markah B+ dan ke atas.

MOHAMMAD FARID BIN MOHD NOR (BC13110087)

No comments:

Post a Comment