Wednesday, 1 June 2016

KERANA DUIT


Duit,
Zahirmu hanya sekeping kertas,
Kertas yang disolek dengan warna-warna,
Juga ditanda dengan angka-angka.

Duit,
Zahirmu juga hanyalah sekeping timah,
Timah yang berseri-seri dengan kilauan,
Timah yang diukir dengan nilai-nilai,

Duit,
Rupanya engkau bertalam dua muka,
Engkau memimpin insan ke sudut pahala,
Engkau mengiring insan ke sudut dosa,

Duit,
Kerana engkau sang arjuna dagangkan sang bidadari,
Kerana engkau berlinangnya kelopak sang bidadari,
Kerana engkau sang bidadari seperti tak bernilai lagi,

Kerana engkau sang bidadari senang dimiliki

OLEH; MOHAMMAD FARID BIN MOHD NOR (BC13110087)

PERJALANAN YANG TAK DIRENCANA

Tanggal 1 September 2013 merupakan tarikh yang begitu bermakna kepadaku.  Tanggal ini sangat bererti kepadaku kerana pada tarikh ini merupakan hari pertama aku menjejakkan kaki di bumi Sabah dan di sini aku mula mengenal erti hidup.
Saat ini, aku mula terkenangkan kembali peristiwa beberapa bulan yang lalu.  Peristiwa mengenai kejayaanku dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah.  Aku terlalu gembira ketika itu sehinggakan aku tidak mampu untuk menggambarkan kegembiraanku itu dengan kata-kata.  Setelah mengetahui khabar tersebut, aku terus memberitahu keluargaku.  Aku merasa sedikit terkilan dengan reaksi serta penerimaan mereka.  Hal ini demikian kerana tidak ada segaris senyuman pun yang kelihatan di wajah mereka.  Mereka keberatan untuk mengizinkan aku ke sana kerana bagi mereka tempat itu terlalu jauh dan tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepadaku sepanjang aku berasa di sana.
Aku bingung.  Aku keliru.  Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan dan kepada siapa harus aku luahkan perasaan ini.  Aku sedih memikirkan perkara ini.  Orang tuaku serta saudara-saudaraku tidak memberi sokongan kepadaku malah membuatkan aku berada di dalam dilema.  Dilema dalam membuat keputusan.  Aku menjadi putus asa dan berhasrat untuk mengikut kehendak mereka namun  atukku menghalang aku daripada mengambil keputusan drastik tersebut.  Dialah yang telah memberikan kata-kata semangat dan dorongan kepadaku.  Dia jugalah yang telah berjaya memujuk keluargaku untuk membenarkan aku menuntut ilmu di bumi Sabah ini.
Matlamat aku untuk ke Sabah hanyalah satu iaitu untuk menuntut ilmu dan membahagiakan keluargaku.Hanya itu yang bermain-main di fikiranku.Aku tidak pernah memikrkan hal lain melainkan itu sahaja.Bulan berganti bulan,hari berganti hari.Segala persediaan untuk ke UMS telah berjalan dengan lancar.Waktunya telah tiba untukku berangkat ke Sabah.
Pada tarikh 1 September merupakan hari aku meninggalkan negeri kelahiranku,Kelantan untuk ke Sabah.  Aku sedih kerana aku harus pergi untuk jangka masa yang lama dan berpisah untuk sementara dengan keluarga serta orang-orang yang aku kasihi.Namun aku gagahkan diriku jua untuk mencapai impianku.  Aku ditemani dua rakan dari sekolahku ke UMS untuk turut melanjutkan pelajaran.  Mereka turut mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran di sana.  Aku menjadi lebih bersemangat untuk ke sana dan tidak berasa takut untuk berada  kerana aku ditemani rakan yang boleh aku harapkan. 
          Pada awalnya, aku berasa sedikit kekok dengan mereka berdua namun lama-kelamaan aku dapat membiasakan diri dengan mereka.  Mereka umpama pelindung aku yang sentiasa ada untukku ketika aku dalam kesusahan.  Kenangan ketika mula-mula tiba di UMS masih segar dalam ingatanku sehingga kini.  Aku tiba di UMS sekitar jam 5 dan segalanya telah ditakdirkan, aku telah mendapat kolej kediaman yang sama dengan salah seorang rakanku.  Aku menjadi lega.  Lega kerana aku berada dekat dengan kawanku itu. 
   Pada keesokkan harinya, aku melakukan pendaftaran bersama rakanku.  Setelah selesai, aku mengikut dua rakanku itu ke 1Borneo Shopping Mall untuk membeli barangan keperluan kami dan turut ditemani seorang mahasiswa yang berasal dari Sabah.  Dia memberitahu sedikit sebanyak selok belok tentang kawasan  Sabah kepada kami.  Peristiwa ke 1B aku rasa sedikit kelakar kerana kami pergi dan balik dari sana dengan berjalan kaki sedangkan perkhidmatan bas untuk ke sana disediakan.  Sepanjang perjalananku ke sana, aku sentiasa dileteri oleh kedua rakanku itu supaya berhati-hati ketika berjalan.  Mereka sangat menjaga aku.  Aku bersyukur kerana mempunyai rakan seperti mereka.  Kadang-kadang mereka sering  menyakitkan hatiku tetapi aku tidak pernah mengendahkan apa yang keluar dari mulut mereka kerana aku tahu mereka tidak berniat untuk menyakitkan hatiku kecuali hanya untuk bergurau sahaja.  Mereka umpama saudara-saudaraku di sini.

Kini, aku mula mengharungi liku-liku yang makin mencabar di semester dua.  Semester satu telah aku harungi dengan jayanya.  Suka, duka, pahit dan manis telah aku tempuhi pada semester lepas membuatkan aku lebih matang dalam melakukan sesuatu perkara. Pada semester-semester akan datang, aku berazam untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik lagi.

NOR FATIHAH BT DAUD
BC 13110125