Monday, 23 May 2016

KUIH TRADISIONAL KELANTAN "JALA MAS"

Kuih jala mas merupakan kuih tradisional Melayu Kelantan yang sinonim dengan juadah berbuka puasa pada bulan ramadhan. Ia merupakan sejenis kuih lemak manis yang dibuat dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula.Kuih jala mas berbentuk berurai seperti jala dan warna kekuningan. Selalunya, kuih jala mas dijadikan pencuci mulut selepas berbuka puasa pada bulan ramadhan kerana rasanya lemak manis dan menjadi kesukaaan masyarakat Kelantan yang lebih menggemari kuih yang manis. Sehingga ke hari ini, kuih jala mas sukar didapati di negari Kelantan dan hanya terdapat pada bulan ramadhan sahaja.
Menurut Pn Hjh Selamah, kuih jala mas mendapat nama daripada warnanya yang kuning keemasan dan bentuknya seperti jala. Hal ini kerana warna kuning dalam adat Melayu merupakan warna yang dikhaskan kepada golongan raja-raja sahaja. Pada zaman dahulu, kuih jala mas dikhaskan untuk dihidangkan kepada raja dan golongan bangsawan sahaja kerana kos untuk membuat jala mas ini agak tinggi.Oleh itu kuih jala mas tidak dijual begitu sahaja kepada masyarakat di sana.  Generasi muda di Kelantan pada hari ini kurang mengenali kuih jala mas kerana ia tidak dijual secara meluas di sana. Tambahnya lagi, kuih ini sangat manis dan ia tidak sesuai di hidangkan untuk makan petang kerana dikhuatiri terkan penyakit.
Katanya, biasanya kuih jala mas yang bermutu perlu ditempah lebih awal dan disediakan ketika majlis istimewa sahaja seperti majlis perkahwinan yang dihidangkan untuk pengantin sahaja. Katanya lagi, kuih seperti ini tidak akan dijumpai di kedai-kedai dan pasar-pasar pada bulan biasa kerana kos untuk membuat kuih agak tinggi kerana menggunakan telur. Seperti kita sedia maklum, harga telur pada hari ini telah meningkat dengan begitu ketara dan jauh berbeza dari dulu. Oleh itu, harga kuih jala mas yang dijual pada bulan ramadhan juga telah meningkat. Dulunya,kuih ini dijual dengan harga RM1 sahaja bagi tiga gulung jala mas, tetapi pada hari ini ia dijual dengan harga RM2 dengan kuantiti yang sama.
Menurut Pn Hjh Selamah lagi, kuih jala mas disediakan dengan menggunakan kuning telur sahaja tanpa menggunakan putih telur. Kuih ini di masak dengan diurai di dalam air gula sehingga ia menggelegak. Ia merupakan sejenis kuih yang berjurai seperti mi yang halus. Pada kebiasaannya, kuih jala emas ini dihasilkan dengan menggunakan telur itik kerana saiznya yang lebih besar daripada telur ayam. Penghasilan kuih jala mas ini disediakan sekali dengan kuih tahi itik dan kuih buah tanjung. Hal ini untuk mengelakkan pembaziran putih telur yang tidak digunakan bagi menghasilkan kuih jala mas, putih telur ini akan digunakan untuk menghasilkan kuih buah tanjung dan kuih tahi itik. Ketiga-tiga kuih ini selalunya dipanggil kuih tiga beradik oleh masyarakat kelantan kerana ia dihasilkan sekali.

BAHAN-BAHAN DAN CARA-CARA PENGHASILAN
BAHAN-BAHAN
Ø  15 Biji Telur Ayam, Ambil Telur Kuning Sahaja
Ø  400g Gula Halus (Boleh dikurangkan Jika Suka Kurang Manis)
Ø  2/3 Helain Daun Pandan
Ø  4 Cawan Air dan Daun Pisang untuk dibuat corong
CARA-CARA
Ø  Tapis kuning telur dan pukul sedikit
Ø  Masak gula bersama air sehingga hancur dan mendidih.
Ø  Tapis dan kemudian masak bersama daun pandan sehingga pekat sedikit.
Ø  Apabila air mendidih dan berbuih halus(dengan api kecil), uraikan atau pusing keliling periuk kuning telur dengan corong daun pisang atau corong tembaga ke dalam air gula tersebut.
Ø  Angkat dan ’tos’kan. Kiraikan urat emas di atas pinggan dengan menggunakan dua batang satay atau garfu.
Ø   Jika air gula menjadi terlalu pekat, tambah dengan air panas.

MUHAMMAD ASYRAF BIN REZALI


Sunday, 22 May 2016

SALAHKAH AKU


Jika diikutkan aku Cuma mahu memberi ketenangan,
Tapi kenapa aku harus menjadi tempat dibuang-buangan,
Salahkah aku,
Kenapa engkau tak pernah faham,
Saat aku pedih menanggung kedukaan.

Hidupku tak pernah rasa diam,
Apatah lagi untuk menenggelamkan,
Aku cuba untuk tidak membinasakan,
Tapi engkau sentiasa memaksa aku,
Paksa aku untuk menhumbang segala kekerasan.

Jika sakitnya gigian pasir dihumban,
Sakit lagi aku yang menjadi mangsa kekotoran,
Disaat minyak terapung di permukaan,
Telah ku cuba mencari ruang untuk memberi pernafasan,
Agar kehidupan dibawahku hidup penuh kegembiraan.

Jika kau tahu indahnya aku pada ciptaan-Nya,
Pasti kamu akan menjagaku seumpama nyawamu,
Aku dicipta dengan penuh kepelbagaian,
Yang mampu membuatmu tersenyum menerus kehidupan.


MUHAMMAD ASYRAF BIN REZALI

SAJAK "RASUAH OH RASUAH"

Rasuah
Kerana gilakan wang ringgit rasuah menjadi pilihan
Engkau di ibaratkan perosak bangsa
Kerana engkau manusia menjadi lalai
Membuat manusia lupa akan halal dan haram.

Rasuah
Kini dikau menjadi keutamaan dalam politik
Hadirmu membuatkan politik sekarang menjadi tidak adil
Pihak bertanggunjab jua tidak dapat membendung kehadiranmu
Denganmu dimanakah letaknya demokrasi sesebuah negara.

Rasuah
Engkau tidak mengenal kuasa pangkat dan kedudukan
Polis, jpj, ahli perniagaan dan ahli politik semuanya terlibat dengan rasuah
Sejauh mana engkau mampu menjamin keamanan?
Menyebabkan manusia lupa akan tugas dan tanggunjawab.

Rasuah
Datangmu membuatkan manusia lupa dan alpa
Tiada pula yang mempedulikan kesan kehadiranmu
Engkau mengheret insan yang lalai ke alam penuh keseksaan
Menghukum manusia yang lupa akan larangan Tuhan.


MUHAMMAD ASYRAF BIN REZALI

Pantun Nasihat


Pokok lada dipinggir titi,
Pabila merah dibawa berdagang,
Kalau ada mengguris hati,
Dendam amarah jangan dikenang.

Pantai bersih di Lahad Datu,
Pohon melaka bercabang tiga,
Jangan disisih keluarga yang satu,
Kasih mereka membawa ke syurga.

Dalam jeram adanya ikan,
Ikan pelaga warnanya terang,
Hidup suram tanpa pendidikan,
Tiada juga akan memandang.

Sang bebiri meragut lalang,
Jantung berdegup bercampur suram,
Jauhi diri dari berhutang,
Supaya hidup kita tenteram.

Asal rama-rama daripada pulpa,
Ikan arowana dibuat perhiasan,
Ilmu agama jangan dilupa,
Kelak merana terima balasan.


MUHAMMAD ASYRAF BIN REZALI

CERPEN "KARMA"


T
epat jam 1.00 pagi, seorang perempuan kelihatan sedang berjalan dengan keadaan tergesa-gesa melalui sebuah lorong yang sunyi sepi. Dia berjalan dengan laju dan kadang kala berlari anak untuk meninggalkan lorong yang cahayanya samar-samar dan hanya di terangi lampu jalan. Dia sepertinya baru habis bekerja dan mahu pulang ke rumah. Wanita itu memakai skirt dan baju ketat dan apabila dia berada di bawah lampu jalan kelihatan sepertinya dia bukan seorang wanita tetapi adalah seorang pondan yang berpakaian seperti wanita. Nafasnya laju dan hembusan nafasnya seperti wap sejuk kerana pada malam itu suasananya agak sejuk dan baru sahaja hujan berhenti turun. Jalan di situ basah dan banyak lopak-lopak air.
          Dia berjalan semakin laju dan langkah kakinya tidak tersusun. Dia berjalan dalam ketakutan seperti hendak bergegas sampai ke tempat yang di tujunya. Kakinya tersadung dan dia terjatuh dalam lopak air menyebabkan pakaiannya basah. Disebabkan terjatuh itu tadi, kakinya terseliuh tetapi dia terus bangun dan berjalan semula. Dia telah menanggalkan sepatu yang bertumit tingginya itu lalu berjalan dengan semakin laju dan melupakan rasa sakit  kakinya itu. Langkah kakinya sedikit pincang namun dia kuatkan semangat untuk segera keluar dari lorong yang gelap lagi sunyi itu.
          “Aku harus keluar dari sini secepat mungkin dan cari tempat yang lebih terang,” katanya dalam keadaan takut dan menahan kesakitan kakinya.
          Langkah kakinya mula keluar dari lorong gelap itu dan dia terus berjalan menuju ke stesen bas untuk menunggu bas atau teksi yang lalu untuk membawanya pulang ke apartmennya yang berada agak jauh dari situ. Dia menunggu berseorangan di stesen bas itu dalam keadaan takut. Matanya liar melihat keadaan sekelilingnya yang sunyi sepi tanpa kelihatan seorang pun yang berjalan di sekitar kawasan itu. Hatinya berdebar-debar memikirkan kemungkinan sesuatu yang buruk terjadi kepadanya. Dia mendongak ke langit melihat tiada satu pun bintang di langit yang kelihatan seperti hujan akan turun lagi. Hampir setengah jam dia berseorangan menunggu di stesen bas itu.
         
“Teksi,”
          “Teksi,”
          “Teksi,”
          Akhirnya penantiannya berakhir apabila sebuah teksi kebetulan lalu di kawasan itu. Dia menahan teksi itu lalu membuka pintu belakang teksi tersebut dan dia terus duduk di kerusi belakang. Teksi itu mula bergerak dan meninggalkan tempat itu. Dia sempat menoleh melihat lorong yang dia lalui sebentar tadi dan melihat stesen bas membuatkankan mukanya kembali cemas. Mukanya kelihatan pucat dan berpeluh sepertinya dia baru sahaja melihat sesuatu yang aneh berada di stesen bas itu.
          “Kenapa pak cik asyik pandang saya je ni?”
          Perasaannya bertambah gusar apabila melihat pemandu teksi itu asyik memandangnya dengan pandangan yang menakutkan. Fikirannya mula tidak menentu dan takut pak cik memandu teksi itu berbuat bukan-bukan dan bertindak di luar kawalan dengan merogolnya. Dia bimbang pak cik itu tidak dapat menahan nafsunya.
          “Simpan sahaja bakinya pak cik,” Kkatanya membayar sewa teksi.
          “Terima kasih nak,” kata pemandu teksi dengan berterima kasih.
          Sampai sahaja di apartmen tempat dia tinggal, dia mengeluarkan wang kertas RM50 dari handbag dan mambayar sewa teksi itu. Dia terus berjalan masuk ke apartmen itu dan menuju terus ke lif. Dia menekan butang yang yang terdapat di depannya dan menunggu lif terbuka. Apabila pintu lif terbuka, dia segera masuk dan terus menekan butang yang tertulis di atasnya nombor 15. Rumahnya berada di tingkat paling atas di apartmen tersebut.
          “Ting.”
          Pintu lif terbuka lebar, dia berjalan keluar dari lif dan melihat keadaan di aras itu sunyi sepi. Kedengaran bunyi seperti kucing sedang bergaduh sesamanya. Hatinya mula berdebar-debar dan tiba-tiba seekor kucing hitam berlari laju di hadapannya. Apabila berada tepat di depannya, kucing itu sempat melihat tepat kearah matanya dengan matanya yang merah menyala membuatkan dia terkejut sehinggakan dia terjatuh dalam lif. Matanya bulat melihat kucing itu, seluruh tubuh badannya bergetar kerana takut. Perasaannya semakin takut apabila dia melihat nombor yang tertera di dalam lif adalah nombor 9 dan bukannya nombor 15. Dia segera menekan butang untuk menutup pintu lif itu. Sambil lif bergerak menuju tingkat 15, kakinya tidak berhenti menghentak-hentak lantai lif membuatkan bunyi bergema di dalam lif itu.
          “Ting.”
          Pintu lif kembali terbuka, dia sempat melihat nombor yang tertera di dalam lif sebelum keluar untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang. Dia melihat skrin di dalam lif memaparkan nombor 15. Dia melihat keadaan sekelilingnya sambil memandang ke lorong kiri dan lorong kanan sebelum berlari pentas menuju ke pintu rumahnya yang bernombor A15-07. Sampai sahaja di depan pintu rumahnya, dengan tergopoh gapah dia mengeluarkan kunci rumahnya yang berada di dalam handbag. Sebaik sahaja melangkah kaki msuk ke dalam rumahnya, dia terkejut melihat satu lembaga yang dengan muka putih menuju kearahnya. Dia yang dalam ketakutan pengsan apabila lembaga itu semakin mendekatinya dalam keadaan gelap.
          “Sayang! Sayang! Sayang!”
          “Bangunlah.”
          Keesokkan harinya, dia seolah-olah mendengar suara yang tidak asing lagi memanggil-manggil namanya. Tiba-tiba dia terkejut dan terus bangun dari pengsan setelah kawannya serumahnya, Maira mencurahkan air ke mukanya. Maira telah mengangkat Sayang yang telah pengsan di depan pintu masuk rumah mereka semalam. Maira meminta maaf kepada Sayang kerana telah menakutkannya semalam sehingga menyebabkan Sayang pengsan. Dia hanya ingin bergurau menjadi hantu dan menakutkan Sayang. Dia tidak menyangka bahawa Sayang akan pengsan dengan gurauan itu.
          Setelah di kejutkan oleh Maira, dia terus bangun dari tempat tidurnya lalu mencapai tuala yang tergantung di pintu biliknya. Dia menuju ke bilik air dan mandi untuk membersihkan dirinya dan pakaiannya yang kotor setelah terjatuh dalam lopak air semalam. Ketika mandi, bermain dalam fikirannya perkara yang berlaku kepadanya malam tadi semasa melalui lorong yang sunyi. Dia seperti diikut oleh sesuatu yang menakutkan sehingga ke rumahnya. Semasa berada di tingkat 9 apartmen tersebut, dia merasakan terdapat benda yang pelik yang ingin mengganggunya.
          “Kring… Kring… Kring…”
          “Hello Baby. Kenapa call  I ni.”
          “Jom teman I keluar makan. Lagipun I dah lama tak bersama you Sayang.”
          “Okey Baby. I bersiap-siap sekejap lepas tu you datang ambil I dekat apartmen I.”
          Selepas siap mandi dan membasuh pakaiannya, Sayang bersiap-siap untuk keluar bersama-sama dengan teman lelakinya yang juga merupakan seorang askar. Dia memakai pakaian yang cantik dan seksi untuk berjumpa dengan Haikal setelah mereka tidak berjumpa hampir 2 bulan. Haikal yang baru sahaja pulang daripada mengikuti kem ketenteraan memerlukan Sayang untuk memuaskan nafsunya yang telah lama dia tahan. Haikal juga merupakan seorang lelaki bujang yang akan melansungkan perkahwinan dengan tunangnya pada hujung tahun ini. Dia menggunakan Sayang untuk melepaskan nafsunya sahaja. Dia berbuat demikian kerana ingin menjaga kehormatan tunangnya dan tidak ingin merosakkan tunangnya sebelum mereka berkahwin. Haikal sering melakukan hubungan seks dengan Sayang jika mereka mempunyai masa lapang untuk mencari pengalaman dan merasai kenikmatan melakukan seks.
          Tepat jam 2 petang, Haikal telah menelefon Sayang dan memberitahu bahawa dia sudah sampai di apartmen itu dan sedang menunggunya di lobi. Setelah 15 minit menunggu di lobi apartmen, Sayang muncul dengan pakaian yang sangat seksi ingin menunjukkan kecantikannya kepada Haikal. Haikal telah membawa Sayang ke pantai untuk melihat keindahan pandai disamping mengambil angin segar di pantai tersebut. Mereka berdua hanya berbual-bual dalam kereta sahaja sambil melihat pemandangan di pantai tersebut. Pemandangan di pantai itu sangat tenang dengan angin meniup sepoi-sepoi bahasa dan daun-daun melambai keriangan melihat telatah pengunjung pantai tersebut. Sayang tersenyum seorang diri apabila melihat manusia sekelilingnya.
          “Ramai juga manusia seperti aku ya. Mereka semua juga memiliki nafsu songsang sepertiku,” bisik hati Sayang
          Dia melihat manusia di sekelilingnya dengan tingkah laku masing-masing. Ramai pengunjung yang mengunjungi pantai tersebut pada waktu petang tetapi matanya tertumpu kepada beberapa pasangan yang menarik perhatiannya. Dia melihat di bawah  pokok rhu kelihatan seorang remaja lelaki sedang menangis sendirian yang mungkin sedang menghadapi masalah. Matanya liar menoleh sekeliling, dia melihat seorang lagi lelaki seperti pondan sedang berjalan-jalan di gigi air sambil di temani seorang lelaki mungkin kekasihnya dan sambil dia berjalan, dia terlihat pula satu pasangan perempuan dengan perempuan sedang bercium dengan penuh nafsu. Setelah hampir satu jam bersiar-siar di pantai, Sayang dan Haikal berjalan menuju ke kereta untuk pulang. Semasa berjalan, dia terserempak dengan dua orang remaja lelaki sedang bergurau sambil berlari dan mereka berdua nampak begitu mesra. Sayang berlalu sambil tersenyum seorang diri melihat telatah manusia di pantai itu.
          Petang itu juga, mereka keluar berjalan-jalan di taman dan berjalan-jalan di Shopping mall.  Mereka berdua kelihatan  sangat akrab dan berjalan sambil berpegangan tangan tanpa menghiraukan masyarakat sekeliling. Mereka sempat singgah makan petang di sebuah restoran yang agak mewah di pusat bandar. Jam menunjukkan pukul 10 malam, mereka berdua pergi ke kelab malam untuk menghiburkan hati mereka sambil menari dan minum minuman keras. Semasa berada di kelab malam itu, Sayang mula rasa tidak sedap hati dan merasakan sesuatu sedang memerhatinya. Jiwanya tidak menentu membuatkan dia berhenti menari dan duduk di maja sambil minum minuman keras. Haikal yang melihat Sayang dalam keadaan gelisah terus membawa Sayang pulang ke rumahnya.
          “Kenapa dengan you ni Sayang. I tengok gelisah semacam je,”
          Dalam perjalanan pulang ke rumah, mata Sayang liar meilhat sekelilingnya. Dia memandang ke belakang kerana merasakan sesuatu telah mengikutnya. Kadang-kadang dia terasa seseorang telah mencuit bahunya dan kadang kala dia merasakan hembusan nafas di lehernya tetapi apabila dia menoleh ke belakang dan melihat tiada siapa yang berada di belakangnya. Semasa berada di rumah Haikal, dia telah memujuk Sayang dan telah menenangkan hati Sayang yang sedang gelisah dan ketakutan. Hasil pujukan teman lelakinya itu, Sayang kembali tenang. Dia menceritakan kepada Haikal bahawa dia merasakan sesuatu telah mengganggu dan mengekorinya sejak beberapa hari lalu tetapi Haikal tidak percaya kepada benda-benda karut seperti itu.
          Haikal telah mengajak Sayang melakukan hubungan intim tetapi Sayang menolak kerana hatinya masih gelisah memikirkan perkara yang terjadi kepadanya kebelakangan ini. Namun dia akhirnya akur dengan pujukan Haikal yang beria-ria ingin melakukan hubungan intim bersamanya. Ketika sedang asyik bercumbu, Sayang merasakan sesuatu sedang melihat perbuatan mereka tetapi dia masih meneruskan perbuatan mereka. Sedang asyik melakukan hubungan intim, Sayang melihat satu lembaga berada di tepi tingkap bilik mereka sambil melihat aksi mereka berdua. Makhluk tersebut memiliki bulu seluruh tubuhnya dengan mata kemerah-merahan seolah-olah marah akan perbuatan yang mereka telah lakukan. Terkejut dengan kehadiran makhluk itu, Sayang segera berhenti melakukan hubungan itu dan menyuruh Haikal menghantarnya pulang ke rumahnya.
          Sambil menangis teresak-esak, Haikal telah menghantar Sayang pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan pulang, Sayang tidak berhenti menangis sepertinya dia dirasuk oleh syaitan. Sayang melihat lembaga itu berada di tempat duduk belakang sambil bermain rambutnya dari belakang. Lembaga itu seperti mahu mendekatinya dan mahu mendapinginya. Sampai sahaja di pintu masuk apartmennya, lembaga itu tiba-tiba hilang dari tempat duduk belakang. Haikal yang takut terjadi apa-apa kepada Sayang telah menghantar Sayang menaiki lif bersamanya. Lif yang mereka naik itu tiba-tiba berhenti di tingkat 9 apartmen itu membuatkan Haikal cemas. Sayang pula kelihatan tidak berhenti menangis dan tangisannya semakin kuat. Tiba-tiba Sayang berhenti menangis dan matanya kelihatan kemerah-merahan dan mukanya sangat pucat. Dia telah dirasuk oleh lembaga itu dan telah membuatkan Sayang tidak sedarkan diri. Dalam keadaan tidak sedar itu, dia telah mencederakan Haikal dengan mencakar badan dan muka Haikal.
          Sayang juga kelihatan mencederakan dirinya sendiri dengan mencakar badannya dan menoreh pergelangan tangannya sendiri. Sayang seperti tidak tentu arah apabila dia berlari-lari di beranda tingkat 9 tersebut. Sayang seperti orang gila apabila kadang-kadang dia ketawa dan kadang-kadang dia menangis, meraung dan meronta-ronta. Haikal terus memegang erat tubuh Sayang untuk mengelakkannya daripada terus mencederakannya dan dirinya sendiri. Haikal membawa Sayang masuk ke dalam lif dan menghantarnya ke rumahnya. Haikal membawa Sayang masuk ke rumahnya dan telah menenangkan sayang. Sampai sahaja di rumahnya, Sayang pulih daripada dirasuk. Haikal telah membawa Sayang ke dalam biliknya kerana Sayang kelihatan sangat letih dan mukanya pula pucat dan berpeluh. Pada malam itu, Maira kawan serumah Sayang tiada di rumah kerana keluar dengan pelanggangnya. Haikal telah tidur di rumah sayang untuk menemankan Sayang yang tinggal berseorangan di rumahnya dan takut Sayang dirasuk kembali dan mencederakan dirinya lagi.
          Pada pagi itu, Haikal telah menyorokkan semua pisau yang terdapat di dalam rumah Sayang untuk mengelakkan perkara yang tidak di ingini terjadi. Dia takut Sayang akan bertindak di luar kawalan dan mencederakan dirinya dengan pisau. Sayang telah tersedar dari tidurnya pada pukul 12.30 tengah hari. Keadaannya kelihatan letih tidak bermaya, mukanya masih pucat dengan beberapa kesan cakar di pipinya. Apabila dia bangun dari tidurnya itu, dia melihat Maira sahaja yang berada di samping menemaninya. Dia bangun dan mencari-cari Haikal tetapi Haikal sudah tiada dan telah meninggalkannya. Haikal sempat berpesan kepada Maira supaya memberitahu Sayang untuk tidak mencarinya lagi dan tidak menghubunginya. Dia sudah tidak mahu berjumpa dengan Sayang dan ingin meninggalkan Sayang.
          Sayang telah menceritakan kejadian yang menimpanya semalam kepada Maira. Dia memberitahu bahawa dia melihat satu lembaga hitam dengan badannya penuh bulu telah mengekorinya. Dia perasan lembaga itu telah mengikuti dan mengganggunya sejak kebelakangan ini. Dia takut untuk menghadapinya seorang diri, dia meminta  kepada Maira untuk sentiasa menemaninya dan tidak meninggalkannya seorang diri. Dia takut makhluk itu muncul kembali dan mengganggunya lagi selepas ini. Mendengar cerita Sayang itu, membuatkan Maira berasa takut. Dia telah membawa Sayang pergi berjumpa dengan seorang bomoh untuk menghalau makhluk itu tetapi bomoh itu tidak mampu untuk melawan makluk itu. Makhluk itu sungguh ganas dan sukar untuk di tumpaskan.
          Seminggu kemudian, Haikal dalam perjalanan pulang ke kampung untuk berjumpa tunangnya telah di ganggu oleh satu lembaga hitam. Lembaga itu telah mengekori Haikal sejak dari rumah Sayang lagi dan lembaga itu tidak pernah berhenti mengekorinya. Haikal telah menyedari kehadiran lembaga itu sejak dia pulang dari rumah Sayang dan disebabkan itulah dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Sayang dan tidak mahu bertemu dengan Sayang. Dia tidak mahu lembaga itu terus mengganggu hidupnya lagi tetapi malangnya lembaga itu masih mengikutinya. Lembaga itu seolah-olah ingin membalas dendam kepada Haikal. Semasa menuruni bukit, lembaga itu telah muncul di hadapan kereta yang dipandu oleh Haikal menyebabkan keretanya hilang kawalan. Kereta yang dipandu Haikal telah memasuki laluan bertetangan dan telah melanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan. Keretanya terperosok di bawah lori sehingga keretanya hancur. Kemalangan itu telah menyebabkan Haikal meninggal dunia di tempat kejadian kerana keadaannya parah.
          “Kring… Kring… Kring…”
          “Hello Sayang. Weiii aku dengar boyfriend  kau, Haikal meninggal dunia kemalangan semalan.”
          “Betul ke nyah. OMG.”
          Sayang telah menerima panggilan telefon daripada rakannya yang mengatakan Haikal telah meninggal dunia akibat daripada kemalangan jalan raya pada pukul 2.00 pagi semalam. Panggilan itu telah membuatkan Sayang terkejut dan telah membuatkanya menangis mengenangkan nasib Haikal. Dia menyalahkan dirinya sendirinya di atas kematian Haikal. Dia beranggapan mungkin lembaga itu telah mengganggu Haikal yang menyebabkan Haikal kemalangan. Fikirannya kembali terganggu dan dia tertekan dengan hidupnya yang mula di ganggu oleh lembaga itu. Semasa dia ingin tidur, lembaga itu kembali mengganggunya dan telah menindihnya membuatkan dia sukar untuk bernafas. Sayang yang ketakutan telah pergi ke bilik Maira dan tidur bersama rakannya itu.
          Keesokkan harinya, Maira telah keluar bersama dengan teman lelakinya dan telah meninggalkan Sayang keseorangan di rumah mereka. Dia telah keluar bersama teman lelakinya semasa Sayang sedang tidur dan dia tidak mahu mengganggu Sayang yang sedang tidur. Maira mungkin tidak pulang ke rumah pada malam ini dan mungkin pulang keesokkan harinya. Bangun sahaja dari tidur, Sayang mencari-cari Maira tetapi dia hanya melihat sekeping nota yang di tinggalkan Maira yang mengatakan dia tidak pulang pada malam ini. Sayang gelisah tinggal keseorangan di rumah itu dan dia mula terbayang benda yang pelik-pelik.
          Pada waktu malam tepat pukul 9 malam, kelihatan Sayang sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya. Dia yang sedang asyik menonton drama bersiri terkejut apabila lampu  dalam rumahnya tiba-tiba mati sendiri. Lampu itu kemudian menyala semula dan mati balik beberapa kali. Sepertinya ada sesuatu telah bermain dengan suis lampu dengan mematikan suisnya kemudian menghidupkan semula. Televisyen rumahnya juga kadang-kala tidak mempunyai siaran. Keadaan itu telah membuatkan Sayang ketakutan. Dia mula melihat kelibat-kelibat lembaga hitam dalam rumahnya. Lembaga itu muncul hanya beberapa detik sahaja di satu-satu tempat dan apabila Sayang menoleh, lembaga itu hilang. Lembaga itu mengganggu Sayang dan telah menakutkan Sayang.
Dia terus berlari masuk ke dalam biliknya mengambil selimut dan menutup matanya. Tetapi lembaga itu tidak berhenti mengganggunya dan tiba-tiba dia merasakan katilnya bergoyang digoyangkan oleh lembaga itu.
“Pergi! Pergi! Pergi! Jangan ganggu aku lagi. Apa yang kau mahukan dari aku? Pergi kau dari sini,”
Sayang berteriak sambil menangis ketakutan. Dia menangis teresak-esak apabila lembaga itu terus mengganggu hidupnya. Tertekan dengan gangguan itu telah menyebabakan Sayang berlari keluar dari biliknya dan menuju terus ke beranda rumahnya. Ketakutan telah menguasai dirinya sehinggakan dia tidak dapat berfikir panjang. Dia telah memanjat beranda rumahnya dan tanpa berfikir panjang, dia telah melompat dari beranda rumahnya menyebakkan dia terjatuh.
Semasa menjunam jatuh ke bawah, Sayang sempat melihat lembaga itu yang berada di beranda rumahnya. Dia terkejut apabila melihat lembaga itu menyerupai Aiman iaitu bekas kekasihnya dahulu yang telah mati membunuh diri. Dia teringat akan peristiwa semasa dia berada di sebuah pantai bersama Maira suatu masa dahulu. Di sana dia telah terpikat kepada seorang lelaki yang duduk berseorang di bawah sebuah pondok. Dia telah berjumpa dengan lelaki tersebut dan telah menggoda lelaki tersebut tetapi lelaki itu menolaknya. Dia yang terlalu minat dan sukakan lelaki itu telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan seorang bomoh untuk meminta minyak dagu. Selepas berjumpa bomoh itu dan mengambil minyak dagu itu, setiap hari dia pergi ke pantai itu untuk mencari lelaki yang telah menambat hatinya. Setelah seminggu pergi ke pantai itu, akhirnya dia telah melihat lelaki itu berada di tempat yang sama samasa dia melihatnya seminggu yang lalu. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya olehnya untuk berjumpa dengan lelaki itu. Dia telah mendekati lelaki itu dan telah menyapu minyak dagu yang diambil daripada bomoh kepada lelaki itu. Minyak itu adalah untuk memikat hati lelaki itu untuk jatuh cinta kepadanya.
Disebabkan terkena sapuan minyak dagu itu, lelaki tersebut telah tergila-gilakan Sayang. Dia seolah-olah terlalu mencintai Sayang sepenuh hatinya dan sanggup berkorban apa sahaja untuk Sayang. Lelaki yang di sapu minyak dagu itu ialah Aiman yang telah mati beberapa minggu lalu kerana terjatuh dari beranda rumahnya yang berada di tingkat 9 aparment itu. Sebelum meninggal dunia, Aiman sudah tidak waras dan kelihatan seperti orang gila apabila sering dilihat bercakap seorang diri. Aiman menjadi kerana Sayang telah berlaku curang kepadanya dan telah bercinta dengan lelaki lain iaitu Haikal. Sayang juga telah teringat pesanan bomoh yang dia berjumpa untuk mengambil minyak dagu. Bomoh itu berpesan apabila minyak dagu itu disapukan kepada seorang lelaki maka dia tidak boleh curang dengan lelaki lain dan jika itu terjadi, orang yang telah disapu minyak dagu itu akan menjadi gila. Makhluk yang mendampinginya juga akan mencari pemilik minyak dagu tersebut untuk berdamping.
Namun ingatan itu sudah terlambat bagi Sayang kerana dia sudah terjun dari tingkat 15 dan hanya menunggu dia jatuh kebawah. Sampai sahaja di tingkat 9, dia telah melihat kelibat Aiman berada di beranda rumahnya sambil tersenyum melihat Sayang yang sedang jatuh ke bawah. Hanya beberapa detik sahaja Sayang telah jatuh ke lantai apartmen itu dan telah meninggal dunia di tempat itu juga. Kepalanya pecah sehinggakan otaknya berkecai di atas lantai. Matanya terbeliak seolah-olah sedang melihat sesuatu. Inilah yang dikatakan karma, perbuatan baik dibalas baik dan perbuatan jahat dibalas jahat.


MUHAMMAD ASYRAF BIN REZALI

PANTUN ORANG BERCINTA


Buah kuini di kebun raja,
Buah pauh penuh junjungan,
Orang di sini baik-baik sahaja,
Orang jauh apa gerangan.

Burung selayang jatuh merana,
Jatuh bertemu si ikan toman,
Bayangmu jauh nun di sana,
Namun hatimu tetap kusimpan.

Angin kencang menyapa nakhoda,
Menepikan perahu hingga ke tepian,
Bukan rancangku lupakan dinda,
Tapiku mahu menangga impian.

Buah cempedak makan tak jemu,
Cairnya beku dek panas suria,
Walaupun tidak selalu bertemu,
Namun hatiku tetap setia.

Dipanggil perahu juga sampan,
Pohon semalu dijentik dayang,
Bukanku mahu janji dan harapan,
Yangku perlu cuma kasih sayang.

MOHAMMAD FARID BIN MOHD NOR (BC13110087)

MASALAH SOSIAL (SAMPAH)

Sampah merupakan masalah sosial yang sering membelenggu masyarakat pada masa kini.  Masalah sampah sangat menganggu sekiranya tidak diurus dengan baik.  Bagi masyarakat pedesaan, sampah mungkin belum menjadi masalah yang serius bagi mereka berbeza dengan penduduk yang tinggal di kota atau di daerah yang padat dengan penduduk.  Masyarakat kota dan daerah yang padat dengan penduduk menghasilkan banyak sampah dalam tempoh masa satu hari.  Sampah akan bertambah jika tidak segera diangkut ke Tempat Pembuangan Akhir (TPA) sampah.   Sampah yang tidak segera diangkut akan menimbulkan bau yang tidak enak yang secara tidak langsung turut akan menjejaskan persekitaran kita .  Sampah yang bertimbunan akan menyumbang kepada pelbagai penyakit yang boleh merebak.  Misalnya ialah muntah berak, penyakit kulit, paru-paru dan pernafasan.  Selain itu, masalah lain yang berkaitan dengan sampah ialah kebiasaan buruk membuang sampah secara sembarangan.  Banyak tempat yang menjadi tempat pembuangan sampah secara merata-rata misalnya sungai dan saluran air.  Akibatnya, akan terjadi banjir jika hujan lebat.  Oleh itu, semua warga masyarakat seharusnya ikut serta dalam mengelola sampah agar masalah ini tidak akan terus berlanjutan.


NOR FATIHAH BT DAUD (BC13110125)

PANTUN CINTA


Makan pulut bersama kuaci,
Daun geti di balik mayang,
Walaupun mulut kata benci,
Namun hati sentiasa sayang.

Jauh bercuti ke Kota Marudu,
Menyelusuri hari di waktu pagi,
Dalam hati sentiasa rindu,
Walaupun lari melangkah pergi.

Buah nangka mudah ketemu,
Pohonnya jauh bercabang dua,
Hati terluka kerana kamu,
Dari jauh merindui jua.

Memancing ikan di tepi jeti,
Burung belatuk singgah di telaga,
Cinta bukan untuk dikhianati,
Tetapi untuk saling menjaga.

Bermain salji dengan Idayu,
Memakai kain pemberian bapa,
Untuk apa dipuji jika sudah layu,
Bila yang lain kian menyapa.

NOR FATIHAH BT DAUD (BC13110125)

Saturday, 21 May 2016

Pantun Nasihat

Hati - hati menanam budi,
Takut memakan diri sendiri
Hati - hati menabur janji,
Takut menjerat diri sendiri.

Nur Khadijah Binti Sulai ( BC13260254 )

PETUA KECANTIKAN SEMULAJADI

Hilangkan Parut Jerawat
ü  Campurkan madu dengan bedak sejuk dan sapukan rata ke muka. Amalkan sekerap mungkin.

Hilangkan Tahi Lalat
Ada di antara kita yang tidak berkenan dengan kedudukan tahi lalat pada anggota badan terutamanya tahi lalat yang bersaiz besar dan timbul.
Kulit dah gebu, cantik, tapi disebabkan tahi lalat, seseorang menjadi kurang keyakinan diri.
Untuk anda yang ingin menghilangkan tahi lalat, boleh cuba petua ini:
ü  Ambil nanas dan limau purut yang telah dikisar, sapukan di kawasan tahi lalat yang berkenaan. Lakukan 2 atau 3 kali sehari sehingga ia jatuh sendiri. Amalkan selalu untuk mendapatkan hasil yang segera.

Bibir merah semulajadi
Siapa yang tidak inginkan bibir merah semulajadi? Walaupun tidak dioles lipstik, bibir tetap tampak cantik.
Ada dua petua yang boleh dicuba,iaitu:
  1. Sapukan sedikit mentega atau marjerin pada bibir sebelum tidur. Amalkan setiap hari.
  2. Ambil 3 helai daun sirih, perah air yang berwarna merah kemudian sapu pada bibir sebelum tidur. Amalkan selalu.

Bulu Kening Lebat
Buat anda yang ingin melebatkan bulu kening, petua mencantikkan wajah ada caranya:
ü  Ambil daun lidah buaya dan ramaskannya sehingga melekit. Kemudian sapukan pada kening pada setiap malam

Menghilangkan Lebam Hitam Pada Bibir
Untuk menghilangkan lebam hitam pada bibir yang biasa dimiliki oleh perokok, petuanya:
ü  Tumbuk halia sehingga lumat dan tapis untuk mendapatkan air dari halia tersebut. Sapukan air itu ke bibir setiap malam sebelum tidur. Biarkan kering.
ü  Untuk melembapkan bibir, anda boleh mencampurkan sedikit madu dan oleskan pada bibir setiap malam. Amalkan selalu.

Kulit Licin dan Mulus
  üAmbil buah tomato dan sapukan pada wajah pada waktu pagi dan malam. Selain itu,        rajin-rajinlah makan buah tomato. Amalkan selalu. 

Atasi Masalah Mata Panda
Bagi yang memiliki ‘mata panda’ atau lebam bawah mata sedikit sebanyak ianya akan mencacatkan kecantikan wajah kita.
Amalkan petua berikut:
  ü  Sebelum mandi pagi, lapkan mata anda dengan air sejuk. Ini dapat membantu        menyegarkan mata.       
  
Elakkan Jerawat dan Tegangkan Kulit
Petua untuk mengelakkan kulit wajah ditumbuhi jerawat dan untuk menegangkan kulit:     
  ü  Pastikan anda mencuci muka setiap kali sebelum tidur.
  ü  Sapukan muka dengan putih telur dan biarkan sehingga kering, kemudian bilas dengan air suam dan sapukan limau nipis dan bilas sekali lagi. Lapkan wajah dengan tuala bersih. Amalkan setiap hari (sekali sehari)

Awet Muda
ü  Bangun pagi dari tidur, terus minum air masak atau air kosong sebanyak 3 gelas beserta dengan selawat sebelum basuh muka atau gosok gigi.  Amalkan selalu setiap pagi selepas bangun daripada tidur.


Ini sahajalah petua mencantikkan wajah yang dapat kongsikan bersama anda.  Semoga petua yang dikongsikan dapat memberikan hasil yang anda inginkan.  Selamat mencuba.

NOR FATIHAH BT DAUD (BC13110125)

KUNDASANG


Oh Kundasang
Alangkah indahnya berada di tempatmu
Udara yang menyapa
Terasa sejuk membelai kulitku

Oh Kundasang
Terserlah keindahan alammu
Gunung-gunung berdiri dengan megah mengelilingimu
Membuat semua orang terkagum
Warna hijau mu sangat menyegarkan mata

Begitu tenang berada dekat denganmu
Pagi cerah yang penuh ghairah
Embun pagi menguap mengagumi kehadiranmu
Burung-burung bercicit menyambutmu

Kan ku kenang dirimu                                         
Kerana di kiri dan kananmu                                               
Terbentang seribu satu kenangan

Yang sentiasa berada di ingatanku

NOR FATIHAH BT DAUD (BC1311O125)








MENGENALI RUANGAN KOLEKSI ASEANA +3 DI PERPUSTAKAAN UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

KOLEKSI ASEANA +3








Koleksi  ASEANA +3 merupakan sebuah ruangan khas yang diwujudkan oleh pihak Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ruangan Koleksi ASEANA +3 terletak di Aras 2 iaitu bersebelahan dengan ruangan Koleksi Perdana. Koleksi ASEANA +3 mendapat nama hasil daripada gabungan negara-negara Asean. Asean dianggotai oleh 11 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Laos, Brunei Darulssalam, Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste. Penggabungan kesebelas-sebelas negara ini dalam mewujudkan perkongsian maklumat serta penyelidikan bersifat ilmiah telah berjaya menarik minat tiga buah yang bukan merupakan anggota Asean iaitu Jepun, Korea Selatan dan China. Disebabkan inilah ruangan ini diberi nama ASEAN +3.
          Kerjasama yang dimeterai antara negara-negara ASEAN bukan sahaja melibatkan bidang ekonomi semata-mata, tetapi ia juga turut melibatkan jalinan merangkumi perkongsian bahan-bahan ilmiah seperti koleksi pensyarah, tesis dan buku am bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Hasil jalinan yang dimeterai oleh pihak UMS dengan Negara-negara Asean, pihak UMS telah mendapat manfaat yang amat membantu para mahasiswa apabila bahan-bahan dari negara-negara yang terlibat akan diperolehi dengan mudah. Namun, setiap bahan-bahan yang dibekalkan bukanlah percuma, tetapi melibatkan langganan melibatkan jumlah wang yang setimpal dengan bahan-bahan yang disediakan dan mendapat persetujuan bersama.
          Pada kebiasaannya, tempoh bahan-bahan yang dilanggan akan ditentukan menerusi jumlah permintaan dalam kalangan para pengguna yang terdiri daripada barisan pensyarah, mahasiswa serta staf-staf yang terdapat di UMS. Sekiranya bahan yang dilanggan mendapat permintaan yang tinggi serta sambutan yang menggalakkan, pihak Perpustakaan UMS akan melanjutkan kontrak langganan dengan mana-mana negara gabungan yang terlibat. Langganan tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana, setiap langganan melibatkan sejumlah bayaran yang besar. Jadi, tepatlah langkah yang telah diambil oleh pihak Perpustakaan UMS yang memanjangkan langganan bagi bahan popular dan memendekkan langganan bagi bahan yang kurang popular dan kurang sambutan. Langkah ini bagi menjimatkan kos yang dikeluarkan supaya setiap aliran wang yang mengalir tidak dibazirkan dengan begitu sahaja.
          Menurut Encik Jarry yang merupakan seorang kerani di ruangan ASEANA +3, para mahasiswa kurang menggunakan kemudahan bahan yang telah dilanggan oleh pihak Perpustakaan UMS. Beliau berpendapat, para mahasiswa kurang terdedah dengan bahan-bahan yang telah disediakan untuk kegunaan mereka. Para mahasiswa tidak mengetahui bahawa semua bahan yang diperlukan oleh mereka terdapat di ruangan tersebut dan mereka hanya perlu ke sana untuk mendapatkannya. Beliau juga memberitahu bahawa hanya segelintir sahaja golongan mahasisiwa yang menggunakan kemudahan itu. Selebihnya digunakan oleh para pensyarah bagi tujuan penyelidikan mereka.
          Antara bahan yang boleh didapati di Koleksi ASEANA +3 ialah kertas soalan peperiksaan. Kertas soalan peperiksaan yang terdapat di ruangan tersebut merangkumi kesemua fakulti yang terdapat di dalam UMS. Contoh soalan peperiksaan yang disediakan di situ merupakan soalan peperiksaan dari tahun 2003 sehingga tahun 2014. Proses untuk menyediakan koleksi contoh soalan peperiksaan agak rumit sekali berikutan terdapat begitu banyak bilangan fakulti yang ada di UMS. Pihak perpustakaan akan mendapatkan bantuan dari fakulti-fakulti bagi mengumpul soalan peperiksaan sebelum dibukukan. Menurut Encik Jarry, kerap kali koleksi buku soalan peperiksaan dihilangkan oleh pelajar. Jadi, pihak perpustakaan harus membukukannya semula dengan meminta kembali koleksi-koleksi yang disimpan oleh para pensyarah mahupun pihak pentadbiran fakulti. Ini kerana, pihak perpustakaan hanya mempunyai satu salinan sahaja bagi setiap contoh soalan peperiksaan bagi satu-satu subjek.
          Selain itu, ruangan ASEANA +3 juga turut menyediakan karya yang dibuat oleh para pensyarah. Karya-karya yang terdapat termasuklah nota-nota yang disediakan oleh para pensyarah untuk tujuan pengajaran kepada para pelajar. Terdapat juga karya-karya seperti buku hasil tulisan para pensyarah sendiri. Pada kebiasaannya, buku hasil tulisan pensyarah senang untuk didapati di pasaran. Namun , nota yang disediakan oleh para pensyarah amat jarang untuk ditemui. Inilah yang menjadi antara sebab yang mengukuhkan fakta yang menyebut bahawa ruangan Koleksi ASEANA +3 amat istimewa dan begitu membantu para pengunjung untuk mendapatkan informasi yang berguna.

          Terdapat juga koleksi-koleksi tesis yang disediakan. Ruangan ini menyimpan begitu banyak bilangan tesis dan terdapat sebuah ruangan khas yang disediakan bagi memuatkan tesis-tesis yang dikumpul. Kebanyakan tesis yang disimpan di situlah adalah merupakan tesis yang dihasilkan oleh para pelajar tahun akhir. Syarat yang ditetapkan oleh pihak perpustakaan bagi membolehkan tesis disimpan adalah sesebuah tesis mestilah mendapat markah B+ dan ke atas.

MOHAMMAD FARID BIN MOHD NOR (BC13110087)